Usrah 1.

AL-WASILAH DAN KEPENTINGAN USRAH DALAM TARBIAH

Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’I (sedar) dan waqi’I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.



Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.

Dalam wasilah khusus, konsep ‘amal jama’i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).

Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.



Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.

0 comments:

Post a Comment

 
© 2009 - Kembara Hamba Munuju Redha | Free Blogger Template designed by Choen

Home | Top